Saidina ali karamallahuwajhah berkata:
“Ilmu orang munafik terletak pada lisannya, dan ilmu orang mukmin terletak pada amalannya”
Beliau juga berkata:
“betapa banyaknya dai’e menyuru ke jalan Allah padahal ia lari meninggalkannya. Betapa banyak orang mendekatkan diri kepada Allah dengan sesuatu yang ia benci. Dan betapa banyaknya pembaca ayat-ayat Allah tapi tidak mengamalkannya”

IMAN SEMUT....
Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: "Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".
Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".
Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: "Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"
Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".
Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong". Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan. Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".
Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".
Itulah Iman Semut!!
IMAN MANUSIA??
Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik ke rumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik. Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di "interview" oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?".
Jawab Imam Suffian: Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya ba hawa rezeki di tangan Tuhan".

Salah satu impian atau harapan, juga cita-cita kita dalam hidup ini ialah lahir dan wujudnya generasi yang terbaik. Gambaran wujudnya generasi yang terbaik memang sudah ada, misalnya dengan ramainya Muslim yang memiliki iltizam yang begitu kukuh terhadap Islam sebagai agama yang harus diamalkan dalam kehidupan nyata dalam pelbagai aspek.
Bagaimanapun, apabila dibandingkan dengan generasi yang sebaliknya, rasanya wujudnya generasi yang terbaik masih amat jauh. Perkara ini terjadi kerana begitu banyak generasi manusia yang memiliki profil generasi yang terburuk. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah menyebutkan tentang ciri-ciri generasi terburuk yang harus kita jauhi. Hadis tersebut bermaksud:
“Akan datang suatu masa atas manusia: cita-cita mereka hanya untuk kepentingan perut, kemuliaan mereka dilihat daripada perhiasan mereka, kiblat mereka adalah wanita-wanita mereka dan agama mereka adalah wang dan harta benda. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk dan tidak ada tempat untuk mereka di sisi Allah s.w.t.” (Riwayat Dailami)
Daripada maksud hadis di atas, terdapat empat ciri dari generasi terburuk
1) Mementingkan Perut
Salah satu keinginan manusia dalam hidupnya adalah memiliki perut yang kenyang dengan pelbagai jenis makanan. Kenyang pada dasarnya bukanlah sesuatu yang dilarang, tetapi kalau segala yang dilakukan itu untuk kepentingan perut, ini merupakan sesuatu yang sangat berbahaya.
Itulah yang kini banyak terjadi dalam masyarakat kita. Mementingkan perut bererti seseorang itu ingin mendapat dan memiliki kekayaan meskipun dengan menghalalkan segala cara, meskipun seseorang itu sudah mendapat rezeki secara halal, perkara itu akan dimanfaatkan untuk kepentingan diri dan keluarganya sahaja sehingga tidak peduli dengan kekurangan yang dialami oleh orang lain.
Akibat lain yang sangat berbahaya daripada mementingkan perut ialah seseorang itu menjadi takut lapar, takut tidak mendapatkan rezeki yang membuatkannya takut pula menanggung risiko dalam menjalani kehidupan secara benar. Oleh hal yang demikian itu, orang yang mementingkan perut akan menjadi manusia yang berkeinginan melakukan sesuatu apabila menguntungkan secara material sehingga motivasi daripada apa yang dilakukannya adalah perkara-perkara yang dapat menyenangkan kehidupan duniawinya dan tidak mahu melakukan sesuatu yang baik.
Oleh hal yang demikian itu, ibadah puasa berupaya mendidik kita menjadi manusia yang mampu menghadapi kehidupan lapar atau sulit meskipun sebenarnya pendidikan ini hanya berlangsung dalam beberapa jam sahaja dalam sehari. Itulah sebabnya, kesabaran merupakan faktor penting dalam menghadapi cubaan lapar. Dalam hal ini, Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (QS 2: 155).
2) Memuliakan Perhiasan
Dalam hidup ini, manusia menghiasi dirinya dengan berbagai-bagai perhiasan hidup seperti rumah yang besar dan indah, kenderaan yang mewah, pakaian yang mahal, perhiasan emas dan sebagainya. Semua itu dijadikan sebagai ukuran bagi kemuliaan seseorang, sedangkan kita tahu bahawa perkara-perkara itu hanya perhiasan dalam kehidupan manusia sahaja.
Adalah amat naif apabila semua itu dijadikan sebagai simbol kemuliaan kerana generasi terburuk menjadikan perhiasan hidup sebagai ukuran kemuliaan seseorang, sementara generasi yang mulia menjadikan ketakwaan yang mantap sebagai ukuran kemuliaan seseorang.
Sesungguhnya Allah s.w.t akan memuliakan seseorang itu berdasarkan ketakwaannya dan bukannya paras rupanya. Dalam hal ini Allah s.w.t telah berfirman, yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah s.w.t adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu.” (QS 49: 13)
Apabila kemuliaan seseorang diukur berdasarkan perhiasan yang digunakannya, menunjukkan bahawa kita adalah hamba-hamba harta dan perhiasan yang sangat tercela. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Binasalah hamba dinar, binasalah hamba dirham, binasalah hamba sutera atau perhiasan.” (Riwayat Bukhari)
3) Mengagungkan Wanita
Salah satu daripada ciri generasi terburuk ialah mengagungkan wanita. Apa yang dimaksudkan dengan mengagungkan wanita adalah menuruti syahwat atau nafsu seksual terhadap wanita yang tidak halal baginya atau memenuhi pujukan wanita untuk melakukan perzinaan. Ini merupakan sesuatu yang sangat hina, dan harus dijauhi. Dalam perkara ini Allah s.w.t telah berfirman, yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (QS 17: 32)
Oleh hal yang demikian itu, apabila seseorang Muslim mampu menolak pujukan wanita untuk berzina dengan perasaan takut kepada Allah s.w.t, maka dia termasuk dalam golongan orang yang akan mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t yang pada hari itu tidak ada perlindungan kecuali hanya daripada Allah s.w.t. Perkara ini telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, yang bermaksud: “Tujuh golongan orang yang akan dinaungi oleh Allah s.w.t yang pada hari itu tidak ada naungan selain naungan-Nya: … seorang laki-laki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan, lalu ia berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah s.w.t.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Di samping itu, mengagungkan wanita juga dapat kita fahami sebagai memenuhi keinginan-keinginan yang tidak baik daripada wanita, termasuk seorang suami yang takut kepada isterinya sehingga harus memenuhi keinginan isterinya yang tidak benar sehingga ketakutan kepada isteri membuatkan si suami tidak berani melurus atau memperbaiki kesalahan isterinya, sedangkan isteri merupakan tanggungjawab suami untuk diselamatkan daripada api neraka. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (QS 66: 6)
4) Gila Akan Harta
Dalam Islam, wang dan harta merupakan sesuatu yang boleh dicari dan dimiliki, namun semua itu harus dalam keadaan ´terterkawal´, bukan ´manusia dikawal oleh harta´. Apabila itu terjadi, maka harta telah dijadikan sebagai agama sehingga tujuan hidupnya adalah memperbanyakkan harta, termasuk dengan menghalalkan segala cara untuk mendapatkannya sehingga dengan demikian manusia dilalaikan oleh hartanya. Ini merupakan sesuatu yang amat buruk. Allah s.w.t telah mengingatkan di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu) itu.” (QS 102: 1-4)
Oleh kerana itu, Allah s.w.t telah berfirman untuk mengingatkan orang-orang yang beriman agar tidak lupa kepada Allah s.w.t hanya kerana persoalan harta. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingat Allah s.w.t. Barang siapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (QS 63: 9)
Daripada gambaran di atas, dapat disimpulkan bahawa ciri-ciri generasi yang terburuk sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w, ternyata dimiliki oleh generasi kita pada masa sekarang. Itulah sebabnya, ada di antara generasi kita yang hidup pada masa sekarang termasuk ke dalam golongan generasi yang terburuk. Oleh hal yang demikian itu, sudah menjadi kewajiban kita bersama untuk memperbaiki generasi kita agar kehidupan masa depan dapat kita jalani dengan penuh keyakinan dan berlandaskan al-Quran dan Sunnah.
Oleh IZHAR SYAFAWI
Para remaja atau muda-mudi adalah pewaris kita bagi masa hadapan. Mereka adalah aset yang berharga agar agama Islam tetap dihayati dan dipraktikkan oleh masyarakat Islam masa hadapan. Mereka adalah harapan masyarakat dan negara.
Maka adalah penting bagi kita memastikan agar mereka bersedia untuk membawa obor perjuangan kita pada masa hadapan. Mereka mestilah menjadi golongan yang boleh diharapkan, bukan sahaja untuk membina masyarakat dan negara yang maju jaya, tetapi yang lebih penting adalah Islam akan terus menjadi panduan masyarakat kita. Kita sekarang sudah mempunyai contoh-contoh yang baik yang boleh kita ambil sebagai teladan.
Kita mempunyai segolongan muda-mudi Islam yang berupaya menjadi kebanggaan dan harapan masyarakat kita. Dan sekarang kita melihat semakin ramai anak muda kita yang berpelajaran tinggi mempunyai kesedaran dan penghayatan terhadap agama Islam. Mereka ingin mempraktikkan agama Islam dalam semua aspek kehidupan mereka. Ini harus dibanggakan dan terus disemai serta dipupuk subur lebih ramai remaja dan golongan muda menjadikan Islam sebagai teras kehidupan mereka.
Bagaimanapun, masih ramai lagi di kalangan remaja kita yang terbawa-bawa dengan budaya yang bertentangan dengan nilai-nilai murni Islam. Sebagai contoh, kita sering mendengar terdapat sebilangan muda-mudi melahirkan anak luar nikah dan mencampakkan bayi di tempat pembuangan sampah, sementara sebahagian lagi menggugurkan kandungan mereka.
Ini tidak termasuk muda-mudi yang ketagih arak dan alkohol, juga ketagihan dadah Adakah ini yang kita inginkan dalam masyarakat Islam kita? Adakah mereka ini yang diharapkan sebagai contoh ‘khaira ummah’atau sebaik-baik umat? Semakin ramai remaja kita yang tanpa segan silu membuka aurat mereka. Malah ada yang lebih berani lagi. Mereka berdua-duaan dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai.
Ini bertentangan dengan ajaran Islam. Mengapakah mereka berkelakuan demikian? Banyak faktor yang menyumbangkan peranannya. Bagaimanapun, yang paling ketara adalah faktor pendedahan terhadap budaya-budaya asing. Kalau pada zaman datuk nenek kita dahulu, cuma ada radio, zaman ibu bapa kita pula ada televisyen. Sekarang ini kita menghadapi pula teknologi internet dan televisyen kabel yang mana segala bentuk informasi dapat diraih hanya dengan menekan butang sahaja.
Memang tidak dinafikan bahawa internet dan televisyen kabel membawa kebaikan. Dengannya kita lebih tahu perkembangan dunia dan ilmu-ilmu sains terkini. Masyarakat kita pula tidak lagi seperti katak di bawah tempurung. Berbagai-bagai faedah yang dapat diraih. Bagaimanapun, internet dan televisyen kabel juga membawa bersama unsur-unsur yang bertentangan dengan nilai Islam.
Jika kita tidak dibentengi dan diperkuatkan dengan agama, maka kita juga mudah terpedaya dengan unsur-unsur negatif tersebut. Setiap kali kita menonton filem Barat, akan dipaparkan adegan-adegan yang tidak sesuai dengan Islam. Setiap kali kita menonton televisyen, kita akan mendengar perkataan-perkataan lucah. Setiap kali juga kita menonton televisyen, kita akan disajikan dengan cara kehidupan yang bertentangan dengan Islam.
Bayangkanlah.
Seorang remaja yang masih memerlukan kepimpinan dalam kehidupan mereka, disajikan setiap hari dengan budaya hidup yang bertentangan dengan Islam, tidakkah ia akan mudah terpengaruh? Menerusi internet pula, lelaman lucah dengan mudah dilayari. Jika inilah sajian yang terhidang kepada anak-anak Islam kita semasa mereka sedang membesar, maka tidak hairanlah akhirnya nilai-nilai Islam menjadi asing kepada mereka.
Dalam kesedaran ini, siapakah yang harus dipersalahkan? Setiap ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai Islam. Anak-anak adalah amanah Allah. Dan Allah akan menyoal kita di akhirat kelak tentang didikan terhadap anak-anak kita. Berapa ramai ibu bapa yang akan diseret ke neraka atas perbuatan anak-anak mereka?
Kita tidak boleh menyalahkan televisyen kabel atau internet di atas keruntuhan akhlak para remaja dan muda-mudi zaman sekarang ini. Sebaliknya, kita perlu merenung kembali. Adakah kita sudah memainkan peranan yang secukupnya sebagai seorang bapa, sebagai seorang ibu, sebagai seorang abang atau kakak?
Adakah kita sudah memainkan peranan yang secukupnya dalam mendidik dan menanamkan keimanan dalam jiwa anak-anak Islam kita sehingga mereka tidak mudah terpedaya? Sudahkah anak-anak kita diberi pengajaran Islam yang secukupnya untuk mereka menghadapi dunia sekarang yang penuh cabaran ini?
Anak-anak secara semula jadi memandang ibu bapa mereka dahulu sebagai panduan hidup mereka. Sekiranya ibu-bapa tidak memberikan contoh yang baik, sekiranya ibu bapa sendiri terpengaruh dengan unsur-unsur negatif Barat, maka tidak hairanlah jika anak-anak mereka juga berkelakukan sedemikian. Bak kata pepatah “bapak borek, anak rintik.”
Bagaimanapun, ibu-bapa menunjukkan contoh yang baik terhadap anak-anak mereka, menjadikan keluarga mereka sebagai keluarga Islami, yang menerapkan nilai-nilai Islam dalam keluarga mereka, maka percayalah, anak-anak mereka juga akan menjadikan Islam sebagai panduan kehidupan mereka. Oleh hal yang demikian itu, kita menyeru kepada para remaja dan belia kita, agar menyedari bahawa mereka adalah adalah harapan keluarga dan negara.
Jika mereka menjalankan tanggungjawab sebagai remaja atau belia Islam yang dinamik, maka masyarakat kita dan negara akan menjadi lebih maju lagi. Bagaimanapun, jika mereka lebih mementingkan keseronokan dan hiburan sehingga lalai daripada tanggungjawab, maka masyarakat dan negara kita akan menjadi lemah. Sebagai belia dan remaja Muslim, kita mempunyai beberapa tanggungjawab asas yang penting untuk dipraktikkan pada zaman yang serba mencabar ini.
Pertama, kita mestilah sedar bahawa waktu remaja bukanlah untuk berseronok semata-mata, tetapi waktu tersebut mestilah diisi dengan mencari dan menimba ilmu pengetahuan dan menghayati agama Islam. Jadikanlah waktu tersebut sebagai persiapan untuk menghadapi masa hadapan apabila kita semakin tua kelak.
Kedua, kita tidak harus mudah terpedaya akan unsur-unsur negatif. Ambillah budaya yang baik daripada sesiapa pun dalam mencari dan meningkatkan ilmu. Bagaimanapun, kekalkan akhlak dan cara kehidupan sebagai orang Islam. Kita akan menjadi orang yang paling disegani dan dihormati kelak. Kita akan berjaya di dunia dan di akhirat. Insya-Allah.
Ketiga, sebagai remaja dan belia, janganlah kita menghabiskan masa berkhayal dengan perasaan cinta dan mencari pasangan. Ia tidak membawa banyak hasil. Malah masa kita yang berharga itu sepatutnya dihabiskan dengan mencari ilmu atau menyumbang kepada masyarakat.
Keempat, hormatilah ibu bapa kita, walaupun pada pandangan kita mereka tidak memahami jiwa dan perasaan kita. Sesungguhnya, ibu bapa adalah pintu yang sentiasa terbuka untuk membawa kita ke syurga. Sekiranya kita tidak bersetuju dengan mereka, maka katakanlah dengan nada yang lembut dan sopan, bukan dengan membentak dan menunjukkan marah.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah menentukan agar kamu jangan menyembah melainkan Allah dan hendaklah kamu berbuat baik dengan mereka. Jika salah seorang dari mereka atau kedua-dua mereka telah mencapai umur tua, maka janganlah berkata kasar kepada mereka, akan tetapi ucapkan kepada mereka dengan ucapan yang baik dan lembut.” (al-Isra’: 23)
Remaja yang berwawasan adalah remaja yang tahu akan tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, bangsa, agama, dan negara. Sememangnya zaman remaja penuh dengan pancaroba, namun dengan berpegang teguh kepada agama, insya-Allah, segala dugaan dan cabaran yang mendatang dapat ditangani atau dihadapi dengan jaya.
Pada suatu hari, terjadi suatu peristiwa yang sangat membekas pada diri Hassan Al-Basri.Ditepi sungai Dajlah, Hassan Al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di samping mereka terdapat sebotol arak. Hassan berkata, “Alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau ia seperti aku!”
Tiba-tiba beliau melihat sebuah perahu di tengah sungai perlahan-lahan tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir mati kelemasan. Dia berhasil menyelamatkan enam daripada tujuh penumpang perahu itu, kemudian ia berpaling ke arah Hassan Al-Basri seraya berkata, “Jika engkau memang lebih mulia dari saya, maka dengan nama Allah, selamatkanlah seorang lagi yang belum sempat saya tolong.Engkau diminta untuk menyelamatkan satu orang saja, sedangkan saya telah menyelamatkan enam orang.”
Namun sayang, Hassan Al Basri tidak berhasil menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu berkata kepadanya, “Tuan, sebenarnya wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan”.
Hassan Al-Basri terpegun, lalu ia berkata, “Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah pula saya dari tenggelam ke dalam kebanggaan dan kesombongan.” Orang itu menjawab, “Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan.” Semenjak hari itu, Hassan Al-Basri selalu merendahkan dirinya bahkan ia menganggap dirinya sebagai makhluk yang paling hina.
Antara pengajaran dari kisah ini adalah:
1. Jangan berburuk sangka dengan orang lain serta memandang rendah padanya.
2. Apabila kita melihat orang lain membuat maksiat kepada Allah, jangan kita menghina orang itu serta cuba mencari keaibannya (dan jangan pula kita redha dengan perbuatannya), kerana mungkin orang itu jahil tentang perbuatannya itu sedangkan kita patut malu pada diri kita sendiri yang telah Allah kurniakan ilmu ini masih juga melakukan perkara-perkara yang Allah larang.
Dua perkara yang patut kita ingat tentang diri kita ialah:
1. Perbuatan baik orang pada kita
2. Perbuatan jahat kita pada orang lain.
Dua perkara yang patut kita lupakan ialah:
1. Kebaikan kita pada orang
2. Kejahatan orang pada kita

Saya bertanya kepada emak, "mak mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang?"
Mak jawab, "dua-dua bukan.."
Saya tercengang. Mak mengukir senyuman.
"Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.." saya menarik nafas dalam-dalam.
"Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?" Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.
Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya.
"Yang paling tahu hanya Allah.." mak merenung dalam-dalam wajah anaknya.
"Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.." mak menyusun ayat-ayatnya.
"Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang tu.."
Saya memintas, "Tak faham.."
Mak menyambung, "Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.."
Mak menyambung lagi, "Begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu.."
Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini..
Mak menyambung, "Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki, jodoh dan maut sejak azali lagi. Persoalannya ialah.. siapakah jodohnya itu?" mak berhenti seketika.
Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.
"Mak dulu masa muda ada secret admire. Rajin betul dia hantar surat. Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal. Mak nak belajar sungguh-sungguh. Lama budak tu tunggu mak. Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak. Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu," Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..
"Mak memang tak ada perasaan lansung pada dia ke?" saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak.
Emak ketawa kecil.
"Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu. Mak takut pada Allah. Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain. Mak, seperti kakak.." Mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.
"Dulu bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji. Sebab zaman tu hujung 70-an dan awal 80-an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya. Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung. Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya.." emak melemparkan pandangan ke lantai.
"Selepas itu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.." sambung emak.
Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.
"Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak.." mak menelan air liurnya.
Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.
"Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni. Tetapi kita kena ingat. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai. Bercouple mungkin. Tetapi bukan berkahwin. Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya.."
Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak.
Emak meneruskan, "Allah itu Maha Adil. Dia tak pernah menzalimi hamba-Nya. Sesungguhnya, yang selalu menzalimi hamba-Nya ialah diri hamba tu sendiri. Sebabnya hamba itu degil. Dia mahukan yang bukan haknya dan yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya.
Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan.
Cuba renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain. Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah. Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya," emak berhenti seketika.
Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini.
"Jadi di sini mak nak kamu faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa. Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita beritahu pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak ayah adalah kerana mencintai Allah. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beritahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata."
"Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. Hanya Allah yang boleh memegangnya. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah. Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya, rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti."
"Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kamu, terimalah dengan hati yang redha. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kamu sayang, tak jadi hal lah. Tapi kalau dapat yang kamu tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kamu ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kamu sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kamu sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kamu.. Alangkah bertuahnya kamu kalau kamu mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur," sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri.
Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat. "Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah. Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara," emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya.
“Dengan cacat pincangku ini, aku bertekad merebut surga…!”
Ia adalah ipar dari Abdullah bin Amr bin Haram, kerana menjadi suami dari saudara perempuan Hindun binti Amar; Ibnul Jamuh merupakan salah seorang tokoh penduduk Madinah dan salah seorang pemimpin Bani Salamah…
Ia didahului masuk Islam oleh puteranya Mu’adz bin Amr yang termasuk kelompok 70 peserta bai’at ‘Aqabah. Bersama shahabatnya Mu’adz bin Jabal, Mu’adz bin Amr ini menyebarkan Agama Islam di kalangan penduduk Madinah dengan keberanian luar biasa sebagai layaknya pemuda Mu’min yang gagah perwira…
Telah menjadi kebiasaan bagi golongan bangsawan di Madinah, menyediakan di rumah masing~masing salinan berhala-berhala besar yang terdapat di tempat-tempat pemujaan umum yang dikunjungi oleh orang banyak. Maka sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang bangsawan dan pemimpin Amru bin Jamuh juga mendirikan berhala di rumahnya yang dinamakan Manaf.
Puteranya, Mu’adz bin Amr bersama temannya Mu’adz bin Jabal telah bermufakat akan menjadikan berhala di rumah bapanya itu sebagai barang permainan dan penghinaan. Di waktu malam mereka menyelinap ke dalam rumah, lain mengambil berhala itu dan membuangnya ke dalam lubang yang biasa digunakan manusia untuk membuang hajatnya.
Pagi harinya Amr tidak melihat Manaf berada di tempatnya yang biasa, maka dicarinyalah berhala itu dan akhirnya ditemukannya di tempat pembuangan hajat. Bukan main marahnya Amr, lalu bentaknya: “Keparat siapa yang telah melakukan perbuatan durhaka terhadap tuhan-tuhan kita malam tadi…?” Kemudian dicuci dan dibersihkannya berhala itu dan dibelinya wangi-wangian.
Malam berikutnya, berdua Mu’adz bin Amr dan Mu’adz bin Jabal memperlakukan berhala itu seperti pada malam sebelumnya. Demikianlah pula pada malam-malam selanjutnya. Dan akhirnya setelah merasa bosan, Amar mengambil pedangnya lalu menaruhnya di leher Manaf, sambil berkata: ”Jika kamu betul-betul dapat memberikan kebaikan, berusahalah untuk mempertahankan dirimu … !”
Pagi-pagi keesokan harinya Amr tidak menemukan berhalanya di tempat biasa… tetapi ditemukannya di tempat pembuangan hajat, dan tidak sendirian, berhala itu terikat bersama bangkai seekar aniing dengan tali yang kuat. Selagi ia dalam kehairanan, kekecewaan serta amarah, tiba-tiba datang lah ke tempatnya itu beberapa orang bangsawan Madinah yang telah masuk Islam. Sambil menunjuk kepada berhala yang tergeletak tidak berdaya dan terikat pada bangkai anjing itu, mereka mengajak akal budi dan hati nurani Amr bin Jamuh untuk berdialog serta membeberkan kepadanya perihal Tuhan yang sesungguhnya, Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi, yang tidak satu pun yang menyamai-Nya. Begitupun tentang Muhammad saw, orang yang jujur dan terpercaya, yang muncul di arena kehidupan ini untuk memberi bukan untuk menerima, untuk memberi petunjuk dan bukan untuk menyesatkan. Dan mengenai Agama Islam yang datang untuk membebaskan manusia dari belenggu segala macam belenggu dan menghidupkan pada mereka ruh Allah serta menerangi dalam hati mereka dengan cahaya-Nya.
Maka dalam beberapa saat, Amr telah menemukan diri dan harapannya… Beberapa saat kemudian ia pergi, dibersihkahnya pakaian dan badannya lalu memakai minyak wangi dan merapikan diri, kemudian dengan kening tegak dan jiwa bersinar ia pergi untuk bai’at kepada Nabi terakhir, dan menempati kedudukannya di barisan orang-orang beriman.
Mungkin ada yang bertanya, kenapa orang-orang seperti Amr ibnul Jamuh, yang merupakan pemimpin dan bangsawan di kalangan suku bangsanya, kenapa mereka sampai mempercayai berhala-berhala itu sedemikian rupa? Kenapa akal fikiran mereka tak dapat menghindarkan diri dari kekebalan dan ketololan itu? Dan kenapa sekarang ini, setelah mereka menganut Islam dan memberikan pengorbanan, kita menganggap mereka sebagai orang-orang besar?
Di masa sekarang ini, pertanyaan seperti itu mudah saja timbul, kerana bagi anak kecil sekalipun tak masuk dalam akalnya akan mendirikan di rumahnya barang yang terbuat dari kayu lalu disembahnya, walaupun masih ada para ilmuwan yang menyembah patung.
Tetapi di zaman yang silam, kecenderungan-kecenderungan manusia terbuka luas untuk menerima perbuatan-perbuatan aneh seperti itu di mana kecerdasan dan daya fikir mereka tiada berdaya menghadapi arus tradisi kuno tersebut.
Sebagai contoh dapat kita kemukakan di sini, Athena. Yakni Athena di masa Perikles, Pythagoras dan Socrates! Athena yang telah mencapai tingkat berfikir yang menakjubkan, tetapi seluruh penduduknya, baik para filosof, tokoh-tokoh pemerintahan sampai kepada rakyat biasa, mempercayai patung-patung yang dipahat, dan memujanya sampai taraf yang amat hina dan memalukan! Sebabnya ialah kerana rasa keagamaan di masa-masa yang telah jauh berselang itu tidak mencapai garis yang sejajar dengan ketinggian alam fikiran mereka.
Amr ibnul Jamuh telah menyerahkan hati dan hidupnya kepada Allah Rabbul-Alamin. Dan walaupun dari semula ia telah berbai’at pemurah dan dermawan, tetapi Islam telah melipatgandakan kedermawanannya ini, hingga seluruh harta kakayaannya diserahkannya untuk Agama dan kawan-kawan seperjuangannya.
Pernah Rasulullah saw menanyakan kepada segolongan Bani Salamah iaitu suku Amr ibnul Jamuh, katanya: “Siapakah yang menjadi pemimpin kalian, hai Bani Salamah?” Ujar mereka: “Al-Jaddu bin Qeis, hanya sayang ia kikir…”. Maka sabda Rasulullah pula: “Apa lagi penyakit yang lebih parah dari kikir! Kalau begitu pemimpin kalian ialah si Putih Keriting, Amr ibnul Jamuh…!” Demikianlah kesaksian dari Rasulullah saw ini merupakan penghormatan besar bagi Amr! Dan mengenai ini seorang penyair Anshar pernah berpantun:
“Amr ibnul Jamuh membiarkan kedermawanannya merajalela, dan memang wajar, bila ia dibiarkan berkuasa, jika datang permintaan, dilepasnya kendali hartanya, silakan ambil, ujarnya, kerana esok ia akan kembali, berlipat ganda!”
Dan sebagaimana ia dermawan membaktikan hartanya di jalan Allah, maka Amr ibnul Jamuh tak ingin sifat pemurahnya akan kurang dalam menyerahkan jiwa raganya! Tetapi betapa caranya? Kakinya yang pincang menjadi penghadang badannya untuk ikut dalam peperangan. Ia mempunyai empat orang putera, semuanya beragama islam dan semuanya satria bagaikan singa, dan ikut bersama Nabi saw dalam setiap peperangan serta tabah dalam menunaikan tugas perjuangan.
Amr telah berketetapan hati dan telah menyiapkan peralatannya untuk turut dalam perang Badar, tetapi putera-puteranya memohon kepada Nabi agar ia mengurungkan maksudnya dengan kesedaran sendiri, atau bila terpaksa dengan larangan dari Nabi.
Nabi pun menyampaikan kepada Amr bahawa Islam membebaskan dirinya dari kewajiban perang, dengan alasan ketidakmampuan disebabkan cacat kakinya yang berat itu. Tetapi ia tetap mendesak dan minta diizinkan, hingga Rasulullah terpaksa mengeluarkan perintah agar ia tetap tinggal di Madinah.
Kemudian datanglah Masanya perang Uhud. Amr lalu pergi menemui Nabi saw, memohon kepadanya agar diizinkan turut, katanya: “Ya Rasulallah, putera-puteraku bermaksud hendak menghalangiku pergi bertempur bersama anda. Demi Allah, aku amat berharap kiranya dengan kepincanganku ini aku dapat merebut syurga!”
Kerana permintaannya yang amat sangat, Nabi saw memberinya izin untuk turut. Maka diambilnya alat-alat senjatanya, dan dengan hati yang diliputi oleh rasa puas dan gembira, ia berjalan berjingkat-jingkat. Dan dengan suara beriba-iba ia memohon kepada Allah: “Ya Allah, berilah aku kesempatan untuk menemui syahid, dan janganlah aku dikembalikan kepada keluargaku!”
Dan kedua pasukan pun bertemulah di hari uhud itu. Amr ibnul Jamuh bersama keempat putranya maju ke depan menebaskan pedangnya kepada tentara penyeru kesesatan dan pasukan syirik.
Di tengah-tengah pertarungan yang hiruk-pikuk itu Amr melompat dan bersijingkat, dan sekali lompat pedangnya menyambar satu kepala dari kepala-kepala orang musyrik. Ia terus melepaskan pukulan-pukulan pedangnya ke kiri ke kanan dengan tangan kanannya, sambil menengok ke sekelilingnya, seolah-olah mengharapkan kedatangan Malaikat dengan secepatnya yang akan menemani dan mengawalnya masuk syurga.
Memang, ia telah memohon kepada Tuhannya agar diberi syahid dan ia yakin bahawa Allah swt pastilah akan mengabulkannya. Dan ia rindu, amat rindu sekali akan berjingkat dengan kakinya yang pincang itu dalam syurga, agar ahli syurga itu sama mengetahui bahawa Muhammad Rasulullah saw itu tahu bagaimana caranya memilih shahabat dan bagaimana pula mendidik dan menempa manusia.
Dan apa yang ditunggu-tunggunya itu pun tibalah, suatu pukulan pedang yang berkelebat, memaklumkan datangnya saat keberangkatan, yakni keberangkatan seorang syahid yang mulia, menuju syurga jannatul khuldi, syurga Firdausi yang abadi!
Dan tatkala Kaum Muslimin memakamkan para syuhada mereka, Rasulullah saw mengeluarkan perintah:
“Perhatikan, tanamkanlah jasad Abdullah bin Amr bin Haram dan Amr ibnul Jamuh di makam yang satu, kerana selagi hidup mereka adalah dua orang shahabat yang setia dan saling menyayangi!”
Kedua shahabat yang saling menyayangi dan telah menemui syahid itu dikuburkan dalam sebuah makam, yakni dalam pangkuan tanah yang menyambut jasad mereka yang suci setelah menyaksikan kepahlawanan mereka yang luar biasa.
Dan setelah waktu berlalu selama 46 tahun di pemakaman dan penyatuan mereka, datanglah banjir besar yang melanda dan menggenangi tanah pekuburan disebabkan digalinya sebuah mata air yang dialirkan Muswiyah melalui tempat itu. Kaum Muslimin pun segera memindahkan kerangka para syuhada.
Kiranya mereka sebagai dilukiskan oleh orang-orang yang ikut memindahkan mereka: “Jasad mereka menjadi lembut, dan hujung-hujung anggota tuhuh mereka jadi melengkung!”
Ketika itu Jabir bin Abdullah masih hidup. Maka bersama keluarganya ia pergi memindahkan kerangka bapanya Abdullah bin Amr bin Haram serta kerangka bapa kecilnya Amr ibnul Jamuh… Kiranya mereka dapati kedua mereka dalam kubur seolah-olah sedang tidur nyenyak. Tak sedikit pun tubuh mereka dimakan tanah, dan dari kedua bibir masing-masing belum hilang senyuman manis alamat redha dan bangga yang telah terlukis semenjak mereka dipanggil untuk menemui Allah dulu.
Apakah anda sekalian merasa hairan? Tidak, janganlah merasa hairan! Kerana jiwa-jiwa besar yang suci lagi bertaqwa, yang mampu mengendalikan arah tujuan hidupnya, membuat tubuh-tubuh kasar yang menjadi tempat kediamannya, memiliki semacam ketahanan yang dapat menangkis sebab-sebab kelapukan dan mengatasi bencana-bencana tanah.
Sumber : Buku Rijal Haular Rasul (Khalid Muh.Khalid)
Bencana Fitnah Ikhtilat Facebook
Penulis: Abu Usamah Mohd Masri bin Mohd Ramli, Tuesday, July 07, 2009
Malam kelmarin berbual dengan sahabat di kedai makan. Dia suruh saya melakukan sesuatu di FB tapi tugasan itu terlalu berat. Isunya: Ikhtilat yang tidak dijaga. Di luar, di alam realiti, dikenali sebagai seorang daie. Melakukan da'wah ke sana sini, sungguh sukar untuk melihat bercanda mahupun bergurau senda dengan kaum yang lawan jantina. Tapi di dalam FB, semua berubah, malu sudah terbang menghilang.
Tugasan itu berat kerana ia melibatkan hati dan perasaan orang-orang yang kita kenali. Kata sahabat saya malam tadi "Jika teguran secara general yang anta lakukan tidak dapat mereka fahami, maka wajarlah anta menegur secara spesifik". Satu kerja yang berat bukan.
Mereka bukan dia. Maksudnya ramai, semoga Allah pelihara saya dan sahabat-sahabat saya dari fitnah di dalam FB. Sungguh Ikhtilath FB adalah fitnah yang teramat besar. Ia menanggalkan malu satu persatu hatta si gadis yang menutup wajah pun tiada segan silu bersenda gurau mahupun bercanda bersama si jejaka yang halal untuk beliau nikahi. Jangan biar malu kita yang selama ini kita jaga di alam realiti terbang begitu sahaja.
[Sudah lama mahu menulis secara jelas dan terang begini, sebelum ini asyik berkias-kias kerana mahu menjaga hati manusia, tapi nampaknya mereka tidak memahami, lantaran itu saya terpaksa menulis dengan jelas dan terang]
alhamdulillah.
bagus. satu niat dan usaha yang baik. semoga Allah permudahkan. facebook dan benda seumpamanya akan menggalakkan berlakunya 'multiple personality' di kalangan daie apatah lagi yang bermanhaj sunnah yang sahih. sangat memalukan dan memberi kesan yang amat buruk sekarang dan akan datang.
--
Rujukan lain yang boleh membantu anda memahami lebih lanjut berkenaan ikhtilat, insya'Allah... jom kita bace..
http://komuniti.iluvislam.com/index.php?%2Ftopic%2F25141-permasalahan-ikhtilat-menurut-islam%2F
http://hatinurani86.blogspot.com/2009/12/ikhtilat-menurut-islam.html
http://mahir-al-hujjah.blogspot.com/2008/07/permasalahan-ikhtilat-menurut-islam.html
http://maxchempaka.blogspot.com/2010/08/ikhtilat-antara-robot-dan-manusia.html
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=929
http://ms.langitilahi.com/bila-kamu-bising-fasal-ikhtilat/
http://seedofislam.blogspot.com/2009/11/ikhtilat.html
http://wanyusrizal.blogspot.com/2010/04/aku-tanpa-iktilat.html
~semoga Allah redha, amin
© Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008
Back to TOP