"CINTA KEPADA ALLAH MEMBAWA KETENANGAN..CINTA KEPADA RASULULLAH MEMBAWA KE SYURGA YANG KEKAL ABADI "
"Tiada siapa lagi yang aku cintai selepas Rasulullah hanya Allah jua yang akan mematikan aku bila-bila masa saja. Dan aku kini menanti kehadiranMu untuk membawa aku bersama ke alam yang lebih indah ini."JUWAIRIYAH -Semoga dapat mengambil istifadah dan manfaat dari laman ini-

Friday, August 27, 2010

PESANAN RASULULLAH SAW KEPADA SAIDINA ALI

Pesanan Rasulullah s.a.w kepada Saidina Ali

RASULULLAH s.a.w. berpesan kepada Ali bin Abi Talib karramallahu wajhah:

- Wahai Ali, sesungguhnya para wali Allah tidak mendapat rahmat dan keredhaan-Nya dengan membanyakkan ibadah, tetapi mereka mendapatkannya dengan kemurahan hati dan memandang hina kepada dunia.

- Wahai Ali, dermawan itu dekat dengan Allah dan dekat dengan rahmat-Nya serta jauh daripada azab-Nya. Manakala si bakhil jauh daripada Allah dan jauh juga daripada rahmat-Nya tetapi dekat dengan azab-Nya.

- Wahai Ali, Aku melihat tertulis di pintu syurga: "Kamu diharamkan daripada semua orang yang bakhil, penderhaka dan pengumpat.''

- Wahai Ali, ketika Allah menjadikan syurga, ia berkata, "Wahai Tuhanku mengapakah Engkau menjadikan aku?'' Allah menjawab: "Untuk semua orang yang dermawan dan bertaqwa.'' Ia menjawab : "Aku rela.'' Manakala neraka bertanya : "Wahai Tuhanku mengapakah Engkau menjadikan aku?'' Allah menjawab: "Untuk semua orang yang bakhil dan orang yang sombong takbur.'' Ia pun berkata: "Aku bersedia untuk kedua-duanya.''

- Wahai Ali, sesiapa yang menyalahi hawa nafsunya, sesungguhnya syurga adalah tempat duduknya. Sesiapa yang mengikut hawa nafsunya, sesungguhnya neraka adalah tempat tinggalnya.

- Wahai Ali, berhati-hati dengan seruan atau doa orang dermawan. Sesungguhnya apabila ia memberi, Allah mengambil dengan Tangan-Nya.

- Wahai Ali, sesiapa yang memberi makan orang Islam dengan ikhlas, maka Allah menulis baginya ribuan kebaikan dan menghapuskan daripadanya ribuan kejahatan dan Allah mengangkatnya seribu darjat.

- Wahai Ali, Kasihilah saudaramu seperti kamu mengasihi dirimu.

- Wahai Ali, para malaikat tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat gambar-gambar atau patung-patung atau penderhaka kepada ibu bapanya atau rumah yang tidak dikunjungi tetamu.

- Wahai Ali, lakukan kebaikan walaupun kepada orang yang buruk perangainya.'' Ali bertanya: "Siapakah sebenarnya orang yang buruk perangai?'' Rasulullah menjawab: "Dia adalah orang yang diberi nasihat tetapi tidak mengambil nasihat itu. Apabila diberi amaran tidak mengendahkannya serta tidak menghiraukan sama sekali segala yang dikatakannya dan segala yang dikatakan kepadanya.''

- Wahai Ali, sedekah secara rahsia memadamkan kemarahan Tuhan, membawa berkat dan rezeki yang banyak. Orang yang menghebohkan sedekah pada pagi hari, sesungguhnya ujian turun sebelum awal pagi, dan ia mengembalikan pemberian itu pada angin.

- Wahai Ali, apabila kamu bersedekah, maka bersedekahlah dengan sebaik-baik benda yang ada di sisimu. Sesungguhnya sedekah sesuap makanan yang halal lebih disukai Allah daripada seratus timbangan berat daripada benda yang haram. Sedekah yang diberi sebelum kematianmu lebih utama daripada seratus timbangan berat yang mereka sedekahkan selepas kematianmu. Allah berfirman dalam surah an-Naba' ayat 40 "Iaitu seseorang melihat apa yang telah diusahakan.''

- Wahai Ali, sedekahkanlah bagi orang yang mati dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah telah mewakilkan para malaikat untuk membawa sedekah orang-orang yang hidup kepada mereka. Mereka bergembira dengannya lebih daripada kegembiraan mereka ketika di dunia. Mereka berkata: "Wahai Tuhanku, ampunkanlah dosa orang yang memberi cahaya kepada kubur kami dan berikan mereka berita gembira dengan syurga sebagaimana Engkau memberi berita gembira kepada kami dengan balasan syurga.''

- Wahai Ali, lakukan amalan ikhlas kepada Allah. Sesungguhnya Allah tidak menerima melainkan daripada sesiapa yang ikhlas kerana-Nya. Allah berfirman dalam surah al-Kahfi ayat 110, "Sesiapa yang berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.''

No comments: